di mana cantiknya seorang wanita?

~wa zakkir,fainna zikra tanfa'ul mukminin~


KECANTIKAN HAKIKI…

Di manakah cantiknya seorang wanita?Sejuta perkataan belum cukup untuk menggambarkan kecantikan insan bernama wanita.Apalagi wanita islam kerana Islam cukup memelihara maruah dan harga diri seorang muslimah,Alhamdulillah.Kecantikan hakiki seseorang muslimah berpaksi kepada iman dan taqwa kepada Allah s.w.t.

Dalam hadis Rasulullah s.a.w riwayat Muslim : "Ada dua golongan penghuni neraka yang aku belum pernah melihatnya: Laki-laki yang tangan mereka menggenggam cambuk yang mirip ekor sapi untuk memukuli orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian namun telanjang dan berlenggak lenggok. Kepalanya bergoyang-goyang bak bonggol unta. Mereka itu tidak masuk syurga dan tidak pula mencium baunya. Padahal sesungguhnya bau syurga itu boleh tercium dari jarak sekian dan sekian."

Hadis di atas adalah antara hadis-hadis yang memperincikan masalah aurat dalam syariat Islam. Istilah aurat diambil dari perkataan Arab 'Aurah' yang bererti keaiban. Manakala dalam istilah fekah pula aurat diertikan sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan yang bukan mahram. Arahan menutup aurat ini adalah hasil dari keyakinan keagamaan dan ikatan syahadah yang termeterai dengan pengakuan lisan dan pengiktirafan dengan hati terhadap kebenaran agama Islam. Ia adalah hubungan yang terjalin antara manusia dengan Allah atau agama yang dianutinya. Ia lambang penyerahan diri dan persetujuan terhadap perintah Allah S.W.T.

Dalam masa yang sama ia juga adalah tuntutan ibadah dan syariat Islam yang menjadi sebahagian dari anutan, amalan dan penghayatan agama. Ia bukan simbol yang tidak memberikan apa-apa fungsi apatah lagi untuk menandakan atau menunjuk-nunjuk secara provokasi keangkuhan beragama. Islam tidak pernah mengajar manusia untuk bersikap angkuh dengan pakaian. Sebaliknya melarang perbuatan yang demikian seperti mana yang diungkapkan oleh beberapa ajarannya. Pemakaian tudung atau pakaian yang menutup aurat adalah semata-mata kerana memenuhi tuntutan agama Islam yang maha suci.

Dalam al-Quran surah An-Nur ayat 31, "Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman: ‘Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan khumurnya (tudung) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putra-putra mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara-saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba abdi yang mereka miliki, atau pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan terhadap wanita atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita,………"

Para ulama mengatakan bahawa ayat ini juga menunjukkan akan haramnya menampakkan anggota badan tempat perhiasan tersebut. Sebab, jika perhiasannya saja dilarang untuk ditampakkan apalagi tempat perhiasan itu berada. Sekarang marilah kita perhatikan penafsiran para sahabat dan ulama terhadap kata “…kecuali yang biasa nampak…” dalam ayat tersebut. Menurut Ibnu Umar RA. yang biasa nampak adalah wajah dan telapak tangan. Begitu pula menurut ‘Atho,’ Imam Auzai dan Ibnu Abbas RA. Hanya saja beliau (Ibnu Abbas) menambahkan cincin dalam golongan ini. Ibnu Mas’ud RA. mengatakan maksud kata tersebut adalah pakaian dan jilbab. Said bin Jubair RA. mengatakan maksudnya adalah pakaian dan wajah. Dari penafsiran para sahabat dan para ulama ini jelaslah bahawa yang boleh tampak dari tubuh seorang wanita adalah wajah dan kedua telapak tangan. Selebihnya hanyalah pakaian luarnya saja.

Pakaian yang transperan tidak dapat memenuhi kriteria sebagai penutup aurat, kerana warna kulit masih terlihat, pakaian tersebut juga tidak boleh dipakai untuk solat, apalagi untuk keluar rumah. Al-Nawawi dalam syarahnya menjelaskan bahawa wanita yang berpakaian tetapi seperti telanjang tersebut adalah wanita yang berpakaian dengan menutupi sebahagian badannya dan membiarkan terbuka sebahagian yang lain, atau wanita yang berpakaian tipis sehingga terlihat warna kulit dan bentuk tubuhnya.

Kewajipan menutup aurat di hadapan lelaki bukan mahram adalah amat penting dan perlu dilaksanakan oleh setiap wanita, bagi mengelak daripada berlaku perkara yang tidak diingini seperti rogol dan sebagainya. Perkara ini terjadi disebabkan memuncaknya nafsu para lelaki akibat dari penglihatan terhadap wanita memakai pakaian yang tidak senonoh dan mendedahkan sebahagian tubuh badan mereka. Ini bermakna penutupan aurat iatu adalah satu dari bentuk jaminan keselamatan yang diajukan oleh Islam untuk melindungi kepentingan wanita. Kalau dilihat dari sudut psikologi dan sosial maka pakaian menutup aurat termasuk tudung adalah selaras dengan matlamat murni untuk mengujudkan kejernihan sosial dan mengekang pengaruh rangsangan berahi seks yang jika sudah terkobar sukar dibendung, Hal ini akan menggugat maruah dan keselamatan kaum wanita. Dalam jangka panjang menggugat peradaban dan keutuhan sesebuah negara .

Dari sudut kesihatan pakaian yang menutup aurat termasuk tudung kepala lebih menjamin kesihatan diri dari debu dan kotoran persekitaran. Bagi kaum wanita yang berada di negara beriklim sederhana atau dingin maka pakaian sebegini bukan hanya merupakan keharusan bahkan amat dituntut memandangkan cuaca yang boleh memudharatkan diri mereka kalau terdedah kepada cuaca berkenaan.

Dari sebahagian dalil dan perbincangan yang telah diuraikan tersebut di atas kita dapat memahami bahawa menutup aurat adalah wajib. Bererti jika dilaksanakan akan menghasilkan pahala dan jika tidak dilakukan maka akan menuai dosa. Kewajiban menutup aurat ini tidak hanya berlaku pada saat solat saja namun juga pada semua tempat yang memungkinkan ada laki-laki lain dapat melihat aurat kaum wanita. Kebijaksanaan Allah dalam mewajibkan kebaikan cukup jelas dan tidak dapat ditolak oleh akal yang melihat agama sebagai suatu kejahatan.

Realiti hari ini menyaksikan wanita dan lelaki telah bolos dari pegangan agamanya sebagaimana bolosnya anak panah dari busar.Pada dasarnya Islam telah menggariskan tatacara pergaulan antara muslimin dan muslimat.Hukum asal pergaulan antara lelaki dan perempuan pada asasnya adalah haram,maka ia merupakan suatu perkara yang wajib dihindarkan kecuali dalam keadaan terpaksa stau keperluan yang mendesak.

Syeikh Abd.Karim Zaidan dalam kitabnya “al-mufassal fi-ahkam al-mar’ah” yang menyebutkan ikhtilat menjadi harus kerana keperluan(hajat) contohnya atas alasan jual beli,menjadi saksi kehakiman,melakukan kerja kehakiman,untuk tujuan belajar ,mendengar nasihat dan sebagainya selagi batas-batas syariat masih terjaga.

Antara adab-adab pergaulan yang perlu dijaga oleh lelaki dan perempuan ialah:

1.Ucapan yang ma’ruf dan sopan dan juga menegaskan suara.

“Janganlah kamu berkata-kata dengan manja(semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya(menaruh tujuan buruk kepada kamu) (Al- Ahzab:32)

2.Menundukkan pandangan

Dalam al-Quran surah An-Nur ayat 31, "Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman: ‘Hendaklah mereka menahan pandangannya…’

3.Mengelakkan daripada berhimpit dan bersesak-sesak.

4.Tidak berkhalwat(berdua-duaan)

5.Menghindari tempat yang syubhah.

Bagi muslimat pula,pakaian mestilah dijaga iaitu menutup aurat seperti yang dianjurkan oleh syara’ dan mejaga pergerakan badan agar tidak menimbulkan fitnah.



Ayuh muslimah,serikandi Islam!marilah kita bersama muhasabah diri kita.Apakah sudah sempurna syariat menutup aurat ini kita telah laksanakan?semoga kita sentiasa mendapat hidayah dan kekuatan untuk melaksanakan syariat Islam ini pada dunia akhir zaman ini..InsyaAllah.Wallahua’lam.




sumber utama:suara persatuan ulama' online.




mujahadah,,usahakan..cari & amal..jalan mujahadah itu amat payah..moga Allah memberi kekuatan,pada diriku & saudara2 muslimahku.









No comments: